HomeBeritaKerajaan Persekutuan setuju serah balik 55 tanah di Sabah dan Sarawak

Kerajaan Persekutuan setuju serah balik 55 tanah di Sabah dan Sarawak

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengembalikan semula 55 daripada 224 tanah yang disenaraikan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, persetujuan itu membabitkan 52 daripada 219 tanah di Sarawak, manakala tiga daripada lima tanah di Sabah.

“Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak akan membayar balik kepada Kerajaan Persekutuan jumlah pampasan yang telah dibayar pada harga ketika Kerajaan Persekutuan mengambil alih tanah tersebut dahulu.

“Banyak tanah diambil tapi tidak dimajukan dan tidak lagi digunakan oleh Kerajaan Persekutuan. Tanah itu menjadi terbiar, justeru pengambil alihan semula ini adalah untuk tujuan keselamatan, kesihatan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di sini hari ini.

Menurut Fadillah, ada di antara lot tanah berkenaan tidak pernah dibangunkan selepas diambil alih sejak 20 hingga 30 tahun lalu hingga akhirnya menjadi kawasan penempatan setinggan.

Mengulas mengenai pengambilalihan Pelabuhan Bintulu, Fadillah berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Unggah Embas bagi berbincang mencari kaedah bersesuaian.

“Ini kita sudah bersetuju untuk dibincangkan secara bersama yang akan dipengerusikan oleh Armizan, Menteri Pengangkutan dan Timbalan Premier Sarawak yang menjaga hal ehwal pelabuhan.

“Ketiga-tiga mereka akan duduk bersama untuk mencari kaedah serta aspek kewangan terutama bagaimana kerajaan negeri akan membayar kembali kepada kerajaan Persekutuan untuk pengambil alihan pelabuhan berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, mesyuarat turut bersetuju secara prinsip berhubung pindaan Rang Undang-Undang (RUU) untuk memasukkan wakil dari Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, RUU itu pernah dibentangkan pada sesi Parlimen yang lalu, namun ia dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas dan hari ini mesyuarat bersetuju secara prinsip pindaan yang akan dibuat.

“Pindaan ini akan dibawa kepada Peguam Besar Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan pengesahan secara hitam putih serta persetujuan apa yang akan dipindakan nanti sebelum dibentangkan semula pada sesi Parlimen akan datang,” tambahnya.

Author

Pilihan Editor