HomeBeritaPolis rakam keterangan dua pelajar dakwa buli suspek cekik mati adik

Polis rakam keterangan dua pelajar dakwa buli suspek cekik mati adik

CYBERJAYA: Berhubung kes remaja mencekik adiknya sehingga mati, polis telah memanggil dua pelajar sebuah sekolah Arab di Alor Gajah bagi merakam keterangan berhubung dakwaan membuli suspek.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, susulan dakwaan terbabit, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

“Setakat ini, dua individu (pelajar) sudah diambil keterangan untuk membantu siasatan lanjut kes buli suspek berusia 14 tahun seperti yang didakwa sebelum ini.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN),” katanya seperti dilapor Kosmo, hari ini.

Bagaimanapun, tiada penangkapan dilakukan setakat ini dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut sehingga kertas siasatan telah dilengkapkan.

Rabu lalu, penduduk Kampung Bukit Piatu digemparkan dengan tragedi seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas dipercayai dicekik abang kandungnya di rumahnya, Rabu lalu.

Kejadian tersebut disedari ibu mangsa sejurus selepas melihat kejadian melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dalam telefon bimbit sebelum meminta pertolongan jiran untuk memeriksa keadaan dua beradik tersebut.

Suspek yang merupakan pelajar sebuah sekolah Arab di Alor Gajah kini direman selama tujuh hari sehingga 12 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Author

Pilihan Editor