HomeBeritaMahkamah & JenayahSanusi ditahan, dihadap ke mahkamah pagi ini

Sanusi ditahan, dihadap ke mahkamah pagi ini

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dipercayai ditahan di sebuah hotel di Mont Kiara, dekat sini awal pagi Selasa.

Beliau ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, kira-kira jam 3 pagi ketika berada dalam sebuah bilik di tingkat 33A di hotel berkenaan.

Muhammad Sanusi kemudian dibawa menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda milik pasukan polis diiiringi kenderaan lain dari JSJ Kontinjen Selangor menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan video penahanan terbabit berdurasi dua minit 50 saat itu kini tular di media sosial, lapor Sinar Harian.

Muhammad Sanusi dijangka akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang pada pagi Selasa bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah anjuran Perikatan Nasional (PN) didakwa mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menghina Sultan Selangor.

Menerusi video tular terbabit, Muhammad Sanusi turut didakwa meremehkan pelantikan Menteri Besar, Datuk Amirudin Shari.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis menerima 31 laporan di seluruh negara membabitkan kenyataan Muhammad Sanusi yang didakwa mempertikai kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor.

 

Author

Pilihan Editor