HomeBeritaMahkamah & JenayahSelepas tuduhan rogol, buruh didakwa amang seksual kanak-kanak

Selepas tuduhan rogol, buruh didakwa amang seksual kanak-kanak

 

IPOH: Seorang pekerja buruh binaan yang pernah didakwa atas tiga pertuduhan rogol seorang penjawat awam di Mahkamah Sesyen Ipoh April lalu, sekali lagi berdepan pertuduhan melibatkan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Tertuduh, Hassan Ahmad, 43, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan cara memegang tangan bagi maksud seksual itu jam 1.30 petang pada 13 April 2023 di tepi jalan berdekatan dewan Rumah Pangsa Ashby Road, di sini.

Perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh sedang menjalani hukuman di Penjara Tapah.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad kemudiannya menetapkan 16 Ogos depan bagi keputusan hukuman serta serahan fakta kes.

Pada 28 April lalu, Hassan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sama atas tiga pertuduhan merogol dan menceroboh rumah seorang wanita di sebuah kuarters kerajaan di Fair Park di sini dalam kejadian 18 April lalu. – Sinar Harian

Author

Pilihan Editor