HomeBeritaTragedi kepala air Jeram Air Putih: Sembilan mayat sudah ditemui, seorang masih...

Tragedi kepala air Jeram Air Putih: Sembilan mayat sudah ditemui, seorang masih hilang

KEMAMAN: Tujuh lagi mayat mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman ditemui hari ini.

Penemuan itu menjadikan sembilan daripada 10 mangsa tragedi berkenaan telah ditemui, termasuk dua beranak yang ditemui pada Ahad.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, kesemua mayat terbabit ditemui dalam sektor A dan B kawasan pencarian.

Katanya, mayat Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dikesan terapung oleh pasukan pencarian kira-kira jam 11.05 pagi.

Manakala pada jam 11.25 pagi, satu lagi mayat kanak-kanak perempuan dikesan di sektor B kawasan pencarian.

Beliau berkata bagaimanapun identiti mangsa yang lain masih belum disahkan.

“Kita mendapat maklumat telah menemui tujuh lagi mangsa tetapi kita belum kenal pasti… (sebahagian) belum dibawa ke pangkalan manakala satu lagi belum jumpa.

“Pasukan SAR (mencari dan menyelamat) sedang mengesan satu lagi mangsa yang belum dijumpai,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Sembilan beranak yang terbabit dalam kejadian itu ialah bapa, Karim Abdullah, 39, ibu, Azizah Eiyi, 40; selain Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Seorang lagi adalah tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Tengah hari semalam, mayat Azizah ditemukan terapung oleh orang ramai, dihanyutkan arus kira-kira 24 kilometer (km) dari tempat kejadian, manakala Muhammad Zulqarnain Haikal tersangkut pada dahan pokok kira-kira 2 km dari tempat kejadian.

Turut ditemui adalah adalah kereta jenis Proton Gen2 dan sebuah motosikal jenis SYM di tempat kejadian dipercayai milik mangsa terbabit.

Susulan penemuan dua mangsa itu, polis melancarkan operasi SAR untuk mengesan semua mangsa yang terlibat.

Polis difahamkan, semua mangsa datang ke kawasan hulu sungai untuk berkelah sebelum dilanda kepala air.

Authors

Pilihan Editor