HomeBeritaMahkamah & JenayahBayi bernyawa, bertali pusat ditemui dalam tong sampah

Bayi bernyawa, bertali pusat ditemui dalam tong sampah

MELAKA: Bayi perempuan bertali pusat seberat 2.2 kilogram (kg) ditemui dalam sebuah tong sampah berhampiran Flat Langkawi, Pantai Emas, Klebang, dekat sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, bayi berkenaan ditemui seorang seorang pesara kerajaan berusia 50 tahun kira-kira jam 10.30 malam.

Menurutnya, ia dimaklumkan oleh anak lelakinya yang terdengar bunyi tangisan dari dalam tong sampah berkenaan berhampiran rumah mereka di Jalan Pantai Emas, Taman Pantai Emas.

Katanya, sejurus memeriksanya, pesara itu terdengar bunyi tangisan bayi disyaki baru dilahirkan dari sebuah beg plastik berwarna putih di dalam tong sampah itu.

“Pengadu kemudian mengambil beg itu dan terus membawanya ke Balai Polis Simpang Tiga kerana mensyaki terdapat bayi di dalamnya.

“Anggota balai kemudian membuka plastik itu bagi tujuan pengesahan dan mendapati ada bayi yang dibungkus dengan kain tebal berwarna coklat menangis dan masih beruri.

“Perkara itu dimaklumkan kepada Ketua Polis Balai Batang Tiga sebelum mereka menghubungi ambulans Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Christopher berkata kakitangan perubatan yang datang kemudian memeriksa bayi itu sebelum memotong tali pusat dan membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, doktor mengesahkan bayi berkenaan yang ditempatkan di wad nursery penjagaan rapi berada dalam keadaan sihat dan memiliki berat 2.2 kg.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara ini diminta menghubungi pihak polis berhampiran dengan segera,” katanya. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor