HomeBeritaMahkamah & JenayahBekas penolong pegawai tadbir JAIM didakwa tipu bayaran elaun RM154,000

Bekas penolong pegawai tadbir JAIM didakwa tipu bayaran elaun RM154,000

 

MELAKA: Seorang bekas penolong pegawai tadbir Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan menipu emolumen berjumlah lebih RM154,000, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Anuar Mat Zin, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus empat pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut kesemua kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan empat Guru Sambilan Tidak Terlatih (GSTT) untuk mempercayai bahawa resit rasmi bagi maksud pembayaran balik emolumen imbuhan tetap perumahan (ITP), elaun bantuan kos sara hidup (COLA) dan elaun kakitangan awam (EKA).

Bayaran itu adalah bagi peletakan jawatan JAIM-KPM membabitkan jumlah keseluruhan RM154,864.40.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di pejabat Bahagian Sumber Manusia 2, JAIM dalam daerah Melaka Tengah antara 8 November 2017 hingga 19 Julai 2018.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Syakila Yaacob mencadangkan jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Tertuduh diwakili Peguam Mohd. Nazri Abd. Hamid bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh merupakan seorang bapa tunggal kepada tiga anak yang masih bersekolah, selain menjaga ibu bapa yang uzur.

Setelah mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dan bersetuju dengan semua syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan tarikh 15 September depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – Kosmo!

Author

Pilihan Editor