HomeBeritaBukan satu tapi dua peti undi tak dimeterai, calon PN minta undian...

Bukan satu tapi dua peti undi tak dimeterai, calon PN minta undian semula

GEORGE TOWN: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Terubong, Andrew Ooi mendakwa dua peti undi di dua lokasi pusat mengundi di kawasan ditandinginya tidak ditutup dengan sempurna.

Beliau yang tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut kira-kira jam 3 petang berkata, satu daripada peti undi itu dikesan berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Relau jam 11.30 pagi tadi.

Calon itu turut mendakwa satu lagi peti undi di Dewan Komuniti Blok 4E Semarak Api, di sini, bukan saja tidak dimeterai malah tidak dilekat label tertera logo atau lambang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam 1.50 tengah hari.

“Jadi bila saya buat aduan, petugas bawa keluar pelekat dan tali pengikat, jadi saya mempunyai keraguan bahawa mereka boleh membuka atau menutup peti undi itu pada bila-bila masa.

“Peti undi adalah perkara serius, bila saya tanya alasan mereka kata terlupa, jika satu tempat okey lagi tapi kalau dua tempat berlaku kami tak boleh terima,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan IPD Timur Laut, hari ini, lapor Harian Metro.

Ooi berkata, berikutan itu proses pengundian di pusat mengundi pertama di SK Seri Relau tergendala selama dua jam manakala di tempat kedua beliau melihat proses pengundian diteruskan seperti biasa selepas isu itu diatasi petugas.

“Saya cadangkan supaya diadakan semula pengundian di dua pusat itu kerana ia tidak adil untuk semua pihak. Kalau nak menang, harus dengan cara yang betul,” katanya.

Difahamkan SPR akan memberi kenyataan lanjut berhubung isu terbabit dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini, Sin Chew Daily melaporkan 177 kertas undi dimasukkan dalam peti undi tidak berkunci di pusat mengundi, SK Seri Relau.

Sehubungan itu, Ooi memohon SPR menghentikan proses pengundian di saluran terbabit yang mempunyai 719 pengundi sebelum ia disambung semula jam 1.56 tengah hari.

Author

Pilihan Editor