HomeBeritaLelaki meracau, ugut terjun papan tanda 12m lepas isteri minta cerai

Lelaki meracau, ugut terjun papan tanda 12m lepas isteri minta cerai

KUALA SELANGOR: Selepas tidak dapat menerima keputusan isteri untuk meminta cerai, seorang lelaki bertindak meracau dan berteriak dari atas sebuah papan tanda berketinggian 12 meter (m) di Tasik Puncak Bestari, di sini pada Isnin.

Tidak sekadar itu, lelaki berusia 50-an itu turut cuba mengugut untuk terjun daripada papan tanda berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan insiden itu pada pukul 8.35 pagi.

“Sebaik pasukan tiba di lokasi kejadian, mangsa juga mengugut untuk terjun ke bawah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ahmad Mukhlis, sepanjang berada di atas papan tanda itu, mangsa juga meracau dan berteriak kepada anggota bomba.

Katanya, mangsa bagaimanapun dapat ditenangkan selepas dipujuk oleh isteri dan rakan-rakannya selama kira-kira dua jam.

“Lelaki itu kemudian berjaya dibawa turun anggota bomba pada pukul 10.35 pagi,” ujar Ahmad Mukhlis.

Difahamkan, pasangan terbabit berdepan krisis rumah tangga manakala lelaki berkenaan dikatakan lemah semangat selepas isterinya memohon untuk bercerai.

Author

Pilihan Editor