CYBERJAYA: Gara-gara menulis hantaran berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri, seorang tukang urut ditahan polis di Bidong, Kedah, semalam.
Lelaki tempatan berusia 41 tahun itu menerusi akaun Facebook ‘JoeJebat Tajudin’ ditahan kira-kira jam 2.30 petang di Taman Desa Budiman, Bidong oleh sepasukan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek memuat naik kapsyen berbaur ugutan dengan mengharapkan rumah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diletupkan.
“Dalam kapsyen itu, Joe Jebat menyatakan ayat ‘Memang sempoi kalau letupan macam itu kt rumah PMX yang menzalimi para pencarum KWSP.
“Mudah-mudahan Allah SWT akan cabut nyawa PMX dalam masa terdekat ini.. Amin,” katanya seperti dilapor Berita Harian pada Isnin.
Beliau berkata demikian semasa membacakan ucapan hantaran itu dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Tambah beliau, tindakan terhadap JoeJebat Tajuddin diambil selepas laporan polis diterima pada jam 3.24 petang, 26 Jun lalu sebelum dia ditahan semalam.
“Lelaki ini direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
“Siasatan mendapati suspek turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan narkotik,” maklumnya.