HomeBerita9,000 kampit beras 10kg dijual RM26 di Melaka esok

9,000 kampit beras 10kg dijual RM26 di Melaka esok

JASIN: Sebanyak 9,000 kampit beras putih pek 10 kilogram (kg) akan dijual pada harga RM26 di program khas jualan terbuka di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini, esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, bekalan itu hanya boleh dimanfaati oleh rakyat tempatan sahaja dengan pembelian sekampit beras untuk setiap keluarga.

“Kerajaan negeri bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri ada menyediakan 9,000 peket beras putih 10kg tempatan untuk dijual kepada rakyat negeri ini esok.

“Kita juga menetapkan setiap keluarga hanya boleh membeli sekampit beras dan bekalan ini tidak boleh dibeli oleh warga asing,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra MADANI Bersama Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil di sini, hari ini.

Tambahnya, penjualan beras itu akan dipantau rapat oleh Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan (Japerun) bagi memastikan tidak berlaku sebarang penipuan untuk mendapatkan faedah tersebut.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, program itu juga dijangka dianjurkan pada setiap minggu bergantung kepada jumlah bekalan yang diperoleh daripada Kawalselia Padi dan Beras.

“Program ini mungkin diteruskan pada setiap minggu sehingga bekalan dan harga pasaran beras kembali pulih.

“Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan bekerjasama memantau aktiviti penjualan beras tempatan di semua pasar raya dan kedai runcit untuk memastikan bekalan sampai kepada rakyat,” ujarnya. – Kosmo!

Author

Pilihan Editor