HomeBeritaMahkamah & JenayahBuruh binaan didakwa bunuh peniaga pisang goreng

Buruh binaan didakwa bunuh peniaga pisang goreng

 

TAIPING: Seorang buruh binaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang peniaga pisang goreng di sebuah gerai di Assam Kumbang, dua minggu lalu.

Tertuduh, S. Jhon Piter, 49, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret R. Prabakaran, namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Chor Kok Kuan, 59, di kaki lima gerai makanan Pasar Pokok Assam, Taiping antara pukul 3.30 hingga 4.15 petang pada 12 September 2023.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Khoo Thean Heng manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 20 November depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat mangsa dan izin dakwa kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Laporan media pada 15 September lalu, seorang peniaga yang menjual pisang dan cempedak goreng maut selepas diserang dari belakang oleh seorang pelanggan lelaki dengan menggunakan sebatang kayu.

Difahamkan, kejadian berlaku susulan pertengkaran antara suspek dan mangsa selepas mangsa dikatakan memarahi suspek kerana menegurnya menjual cempedak goreng pada harga mahal. – Kosmo!

Author

Pilihan Editor