HomeBeritaMahkamah & JenayahEmpat remaja dikerah jadi buruh

Empat remaja dikerah jadi buruh

CYBERJAYA: Polis berjaya menyelamatkan empat remaja bawah umur yang dieksploitasi menjadi buruh paksa dalam serbuan ke atas sebuah kilang memproses logam terpakai di Teluk Gong, di Klang, petang semalam.

Ketua Penolong Pengarah D3 ATIPSOM, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, empat mangsa diselamatkan adalah warga Myanmar berusia 17 tahun.

Menurutnya, mereka diselamatkan menerusi satu serbuan pada pukul 3.30 petang oleh Bahagian Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran D3 (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Unit MAPO Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Tenaga Kerja.

“Hasil siasatan awal mendapati, mereka mula bekerja di kilang haram yang beroperasi sejak dua tahun lalu antara dua hingga lima bulan.

“Dalam serbuan sama, seramai 40 warga asing termasuk 10 wanita berusia antara 21 hingga 45 tahun yang bekerja di kilang itu tanpa sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya memetik laporan Kosmo pada Jumaat.

Tambah Fadil, warga asing yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Kemboja.

“Semua pendatang asing tanpa izin ini dikesan bekerja di kilang ini sejak setahun lima bulan lalu.

“Kita juga menahan dua lelaki tempatan berusia 21 dan 31 tahun yang berperanan sebagai pengurus dan pembantu pengurus kilang,” katanya.

Jelasnya, fokus operasi itu adalah mengenalpasti mangsa pemerdagangan manusia dengan berpandukan kepada `National Guideline on Human Trafficking Indocators (NGHTI)’.

Tambah beliau, polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007, Akta Kanak-kanak dan Orang Muda 1966, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1956/63.

“D3 JSJ Bukit Aman sentiasa memantau dan menjalankan risikan bagi mengenal pasti lokasi-lokasi yang wujudnya aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran di seluruh negara,” maklumnya.

Author

Pilihan Editor