HomeBeritaFahmi minta pembangkang sabar isu DNAA Zahid

Fahmi minta pembangkang sabar isu DNAA Zahid

KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak termasuk Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) yang ingin mendapatkan penjelasan mendalam mengenai keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta supaya bersabar.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, perkara tersebut sudah pun diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab membuat laporan kepada Dewan Rakyat.

Oleh itu, beliau yakin apabila laporan itu diterbitkan dan dibentangkan kelak, perbahasan mengenai perkara tersebut boleh dibuat secara menyeluruh.

“Seperti yang kita lihat sebelum ini, Jawatankuasa Pilihan Khas telah banyak membantu dalam pelbagai proses termasuk penggubalan undang-undang anti lompat parti dan isu umum.

“Jadi, kita perlu biarkan proses berjalan sebelum laporan dibentangkan di Dewan Rakyat,” katanya ketika sidang media, selepas melancarkan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya, bertemakan ‘Cerita Malaysiaku’ bersempena Hari Malaysia di sini pada Rabu.

Fahmi Fadzil

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang akan membincangkan DNAA Ahmad Zahid merupakan satu keputusan tepat.

Jelas beliau, perbincangan khas tersebut adalah lebih bersesuaian memandangkan ia bersifat ‘non-partisan’, selain melibatkan Ahli Parlimen dari kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang.

“Dalam proses melibatkan Parlimen, itu (prosiding khas) merupakan platform yang paling tepat dan untuk ahli-ahli parlimen mendapatkan maklumat yang terperinci berbanding di dalam Dewan Rakyat yang hanya akan memberi peluang kepada Ahli Parlimen yang bercakap,” tambahnya.

Terdahulu, Peguam Negara baharu, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun akan dipanggil ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Ke-15 Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

Pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen berkata, ia bagi memberi penjelasan berhubung keputusan DNAA Ahmad Zahid.

Author

Pilihan Editor