HomeBeritaMahkamah & JenayahGeng Daus Salong tumpas, 6 lelaki ditahan

Geng Daus Salong tumpas, 6 lelaki ditahan

 

KUANTAN: Polis menumpaskan Geng Daus Salong yang terbabit dalam kes kecurian motosikal di daerah ini dan Pekan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata polis melalui pasukan Task Force Op Lejang menahan enam lelaki tempatan berusia antara 16 dan 24 tahun 9 September lalu.

Katanya, berdasarkan laporan, pihaknya menerima maklumat berkaitan kes kecurian motosikal pada hari kejadian.

“Bertindak atas maklumat itu, seorang lelaki ditahan di belakang Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan, di sini dan merampas sebuah motosikal yang hilang di Jaya Gading, di sini.

“Hasil siasatan lanjut itu, lima lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Salong, Pekan.

“Ketika ditahan, polis turut merampas tiga motosikal, dua enjin motosikal dan satu rangka motosikal di rumah terbabit.

“Siasatan lanjut menemukan tiga rangka motosikal di dalam sungai Kampung Salong. Geng ini mempunyai peranan masing-masing iaitu mencuri, menjual, melupus, melerai dan menggunakan motosikal yang dicuri.

“Siasatan juga mendapati geng ini aktif melakukan kegiatan mencuri motosikal awal tahun ini dengan menjadikan kawasan letak motosikal di premis perniagaan sebagai sasaran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, di sini hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan juga mendapati tiga daripada enam suspek mempunyai rekod lampau dalam kesalahan jenayah dan dadah.

Katanya, modus operandi ialah suspek mencuri motosikal menggunakan pemutar skru.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 411 dan 414 Kanun Keseksaan. Enam individu terbabit ditahan reman sehingga 26 September ini.

“Dengan penahanan geng ini, polis berjaya menyelesaikan sembilan kes curi motosikal di daerah Kuantan dan Pekan,” katanya. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor