IPOH: Lebih RM200,000 kerugian dialami pengurusan Ipoh Night Market selepas premis perniagaan di kawasan itu rosak akibat dipukul ribut dan hujan lebat, kelmarin.
Dilaporkan, kerosakan membabitkan 33 gerai termasuk bumbung premis yang runtuh serta dua buah food truck atau lori makanan.
Pengarah Urusan Ipoh Night Market, Voon Ken Hong berkata, ribut dan hujan lebat turut menjejaskan kabel elektrik dan paip air yang memerlukan masa untuk diperbaiki.
Katanya, proses membaiki semua kerosakan di pusat perniagaan itu mengambil masa lebih daripada dua minggu.
“Paling awal kerja pembaikan boleh siap dalam masa dua minggu tetapi kerosakan kali ini sangat teruk. Bumbung gerai ini dibawa dari Cameron Highlands, Pahang dan tenaga kerja dari Kuala Lumpur.
“Semuanya mengambil masa. Pada fasa pertama kerja pembaikan, kerja-kerja pembersihan akan dilakukan dan kami telah potong kabel elektrik kerana dikhuatiri menyebabkan litar pintas.
“Setengah daripada peniaga dipindahkan ke lot-lot gerai kosong buat sementara waktu manakala selebihnya terpaksa dicutikan,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Susulan kejadian, Ken Hong berharap kerajaan negeri dapat membantu pihaknya kerana Ipoh Night Market adalah salah satu destinasi tumpuan pelancong dari pelbagai negeri.
Sementara itu, seorang peniaga jeruk Azishah Enterprise, Nor Hadilah Jamaludin, 35, turut berkongsi pengalamannya sewaktu kejadian ribut yang memusnahkan kebanyakan kedai di pusat perniagaan itu.
Katanya, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke kedai dan hujan sangat lebat seperti hujan batu sehingga sukar melihat jalan.
“Apabila sampai, semua kedai di hadapan premis perniagaan saya rosak. Nasib baik ketika itu tidak ramai peniaga di kawasan tersebut buka kedai. Saya juga bersyukur kerana kedai tidak terjejas,” kongsinya.