HomeBerita'Jangan hanya hukum rakyat curi RM22 tapi dipenjara 10 tahun' - Tun...

‘Jangan hanya hukum rakyat curi RM22 tapi dipenjara 10 tahun’ – Tun Faisal

KUALA LUMPUR: Himpunan Aman Selamatkan Malaysia menuntut agar sistem perundangan di negara ini memberi keadilan kepada semua pihak, tanpa mengira sebarang status dan pangkat.

Aktivis Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menganggap kes seorang lelaki yang didakwa hanya mencuri wang sebanyak RM22, namun dikenakan hukuman berat sebagai tidak adil.

Sedangkan, katanya, terdapat segelintir ahli politik atau orang kenamaan yang terpalit dengan kes rasuah sehingga mencecah nilai jutaan ringgit dilepaskan begitu sahaja.

“Keadilan untuk semua. Jangan hanya beri hukuman kepada rakyat yang curi RM22 tetapi dipenjara 10 tahun. Tapi, yang curi berjuta-juta dilepaskan begitu sahaja,” katanya ketika berucap pada himpunan tersebut, di pusat beli belah Sogo, di sini pada Sabtu.

Terdahulu, seorang penganggur mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri wang tabung bernilai RM22 di Masjid Pulau Sekati, Kuala Terengganu, Terengganu pada 27 Jun lalu.

Sabit kesalahan terhadap Suhaidi Abdul Hamid, 45, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Suasana Himpunan Aman Selamatkan Malaysia di hadapan Sogo pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, himpunan tersebut turut meminta kerajaan membebaskan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada kuasa eksekutif.

Lebih penting, satu lagi tuntutan adalah dengan melakukan siasatan semula terhadap keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan.

Sebelum ini, Tun Faisal mengetuai perarakan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, untuk membuat laporan polis bagi meminta menyiasat semula keputusan DNAA ke atas Ahmad Zahid.

Tun Faisal  berkata, himpunan tersebut bukanlah kali terakhir, sebaliknya jelajah seterusnya akan berlangsung di lebih banyak lokasi khususnya di Bagan Datuk, Perak dan Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Antara peserta Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang berkumpul di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru.

Himpunan Selamatkan Malaysia yang dianjurkan Pemuda Perikatan Nasional (PN) bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) mula berkumpul di Masjid Jamek Kampung Baru kira-kira jam 12 tengah hari, sebelum mula berarak ke Sogo.

Peserta himpunan turut melilit kain putih yang ditulis ‘#Selamatkan Malaysia’ di kepala serta memakai selendang bercorak ‘Jalur Gemilang’.

Author

Pilihan Editor