HomeBeritaJPJ sita motosikal 'rider' sewa, pinjam untuk hantar barang

JPJ sita motosikal ‘rider’ sewa, pinjam untuk hantar barang

 

SHAH ALAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor bertindak menyita motosikal p-hailing yang disewa atau dipinjam daripada akaun pemilik lain bagi urusan penghantaran barangan.

JPJ Selangor dalam satu kenyataan berkata, dalam operasi Ops Merah 2023 JPJ Negeri Selangor di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan menghala ke ibu kota Kuala Lumpur pada Ahad, pihaknya mendapati sebuah motosikal dengan menggunakan aplikasi SmeD, pihak JPJ mendapati lesen kenderaan motor (LKM) motosikal tersebut telah tamat tempoh pada 2017.

Jelas kenyataan itu, selain LKM motosikal itu telah tamat tempoh, penunggang terbabit juga tiada lesen memandu.

“Anggota yang bertugas turut menjalankan soal balas kepada penunggang motosikal bagaimana dia beroperasi sedangkan tidak mempunyai lesen memandu dan LKM tamat tempoh.

“Dia mengaku menyewa dan meminjam akaun pemilik lain semasa menjalankan perkhidmatan p-hailing dan turut mendaftar kenderaan lain semasa menjalankan perkhidmatan tersebut,” katanya pada Isnin.

Sehubungan itu, motosikal tersebut telah disita dan dibawa ke JPJ Shah Alam atas pelbagai kesalahan lain.

Katanya, sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 1,430 motosikal telah diperiksa dan 613 notis telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, sejumlah 35 motosikal disita dalam operasi tersebut.

Jelasnya, antara kesalahan yang dikesan adalah tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, kesalahan teknikal dan lain-lain kesalahan.

Katanya, operasi bermula jam 8 pagi sehingga 11.55 malam itu diketuai oleh Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Negeri Selangor, Mazlini Yusof dan dibantu 52 orang anggota serta pegawai JPJ Negeri Selangor.

“Penunggang dan pemilik motosikal adalah dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta memastikan motosikal berada dalam keadaan baik, selain mengamalkan pemanduan secara berhemah.

“Sebarang aduan kesalahan lalu lintas, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau melalui platform aplikasi e-aduan berserta butiran pengadu dan butiran aduan,” ujarnya. – Sinar Harian

Author

Pilihan Editor