HomeBeritaKWAP capai RM184.5b saiz dana kasar

KWAP capai RM184.5b saiz dana kasar

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM184.5 bilion saiz dana kasar Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), adalah daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) setakat Julai 2023.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, 80 peratus daripada jumlah itu dilaburkan di dalam negara manakala 20 peratus lagi di luar negara.

Jelas beliau, peratusan pelaburan daripada pendapatan tetap merangkumi 40 peratus, diikuti ekuiti awam dengan 40 peratus, manakala ekuiti swasta dan hartanah masing-masing dengan 10 peratus.

“Jadi, dana sebesar ini diurus dengan baik oleh KWAP. Selama ini, mereka juga memberi jumlah dividen tertentu kepada kerajaan bagi membantu kerajaan membayar tanggungan persaraan sejumlah RM31 bilion setiap tahun.

“Jumlah itu merangkumi 900,000 pesara yang ada di negara ini termasuk pencen terbitan,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Forum Pencarum KWAP 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada Selasa.

Forum berkenaan dihadiri kira-kira 400 pencarum termasuk 20 wakil institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Mengulas lanjut, Ahmad Maslan berkata, kerajaan mengharapkan penambahbaikan berterusan dilakukan oleh KWAP pada masa akan datang.

Jelasnya, antara penambahbaikan itu termasuk jawatankuasa pelaburan KWAP hendaklah meningkatkan usaha-usaha bagi mendapatkan keuntungan daripada pelaburan yang ada.

Katanya, ini penting agar dividen yang diberikan kepada kerajaan akan bertambah dari semasa ke semasa.

Selain itu, beliau berkata, penambahbaikan KWAP dengan slogan baharu iaitu ‘Teman Persaraan Anda’ dapat diharap dapat merapatkan hubungan antara KWAP dengan individu yang bersara.

“Segala usaha-usaha pendigital perlu terus dilaksanakan. Sebelum ini saya melancarkan perkongsian data yang menyebabkan hubungan antara KWAP, jabatan bahagian pencen dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam umpama ‘seemless connection‘ apabila mereka bersara, yang mana potongan-potongan (kewangan) dapat dilaksanakan tanpa tertangguh.

“Itu penambahbaikan yang sangat baik dilakukan oleh KWAP dari semasa ke semasa. Perkara seumpama itu perlu diteruskan mereka yang kini mempunyai lebih 700 kakitangan, yang sudah tentu boleh memikirkan (penambahbaikan) di bawah kepimpinan ketua pegawai eksekutifnya,” katanya.

Author

Pilihan Editor