HomeGlobalMain jet ski hingga sesat, dua pelancong maut ditembak

Main jet ski hingga sesat, dua pelancong maut ditembak

RABAT: Malang tidak berbau buat dua orang pelancong apabila ditembak mati oleh pengawal pantai Algeria ketika bermain jet ski di Maghribi.

Kedua-dua pelancong itu dipercayai sesat sehingga merentasi sempadan maritim antara dua negara Mediterranean itu, lantas ditembak oleh pengawal terbabit.

Lapor portal Le360, Bilal Kissi dan Abdelali Merchouer yang merupakan warga Perancis-Maghribi, mengambil jalan yang salah dari pusat peranginan pantai Saidia di hujung timur laut Maghribi.

Dalam kejadian sama, seorang lelaki dikenali Smail Snabe yang juga warga Perancis-Maghribi turut ditangkap oleh pengawal pantai Algeria dan tampil di hadapan pendakwa raya pada Rabu.

Menurut laporan sama, terdapat empat lelaki dalam kumpulan itu dan semuanya menaiki jet ski.

“Kami tersesat tetapi kami terus berjalan sehingga kami mendapati diri kami berada di Algeria.

“Kami tahu kami berada di Algeria kerana bot hitam Algeria datang ke arah kami dan mereka yang berada di atas “menembak kami”.

“Alhamdulillah, saya tidak terkena, tetapi mereka membunuh abang dan rakan saya. Mereka menahan rakan saya yang lain.

“Lima peluru terkena abang dan rakan saya. Rakan saya yang lain terkena peluru,” kata Mohamed Kissi iaitu abang kepada salah seorang mangsa yang maut, dipetik sebagai berkata oleh portal, Al Omk.

“Kami tersesat dan kehabisan minyak,” katanya, sambil menjelaskan bahawa dia diselamatkan oleh tentera laut Maghribi yang membawanya kembali ke marina Saidia.

Insiden itu berlaku ketika ketegangan antara Algeria dan Maghribi yang diburukkan lagi oleh pertikaian kedua negara terhadap wilayah Sahara Barat.

Sempadan antara dua negara Afrika Utara ditutup sejak 1994, dan Algiers memutuskan hubungan dengan Rabat pada 2021.

Ketika ditanya mengenai laporan menembak pemain jet ski pada Khamis, jurucakap kerajaan Maghribi, Mustapha Baitas, enggan mengulas.

Sementara itu, tiada maklum balas atau kenyataan dibuat oleh Algeria, susulan kes terbabit.

Author

Pilihan Editor