HomeHiburanKoreografer legenda Ahmad Kassan meninggal dunia

Koreografer legenda Ahmad Kassan meninggal dunia

CYBERJAYA: Pengacara terkenal, Datuk Aznil Hj Nawawi membawa khabar duka dan memaklumkan jurulatih penari popular dalam program Macam-Macam Aznil, Ahmad Kassan dilaporkan meninggal dunia.

Aznil atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nil memaklumkan berita sedih itu menerusi hantaran terbaharu di Instagram miliknya, Jumaat pagi.

“Saya baru dapat berita perkhabaran duka tentang pemergian sahabat Pak Nil, Allahyarham Ahmad Kassan yang merupakan antara nadi kuat dalam program Macam-Macam Aznil suatu ketika dulu.

“Baru sebentar tadi saya menerima khabar duka bahawa beliau telah kembali ke rahmatullah,” katanya.

Mengulas mengenai keperibadian Ahmad Kassan, Pak Nil menyatakan bahawa Allahyarham merupakan sahabat yang sangat rapat dengannya.

“Allahyarham adalah seorang yang sangat rapat dengan saya ketika membuat rakaman Macam Macam Aznil.

“Beliau adalah antara tunjang utama kejayaan program itu. Saya rasai kehilangan dia dan semoga pemergiannya akan sama-sama kita dapat sedekahkan bacaan surah Al-fatihah.

“Semoga Allahyarham dikumpulkan bersama dengan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah,” luahnya.

Terdahulu, bukan sahaja orang dewasa malah kanak-kanak juga turut mengenali Ahmad Kassan kerana menggayakan fesyen unik ketika menari dalam program berkenaan.

Author

Pilihan Editor