KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal membatalkan perintah injunksi mareva kedua yang dimohon oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perintah injunksi mareva adalah perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.
Pada 6 Disember 2022, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk membatalkan perintah injunksi mareva yang diperoleh SRC International Sdn. Bhd. dan anak syarikatnya, untuk menghalang beliau daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya berjumlah RM42 juta.
Pada prosiding hari ini, Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad memutuskan demikian selepas mendapati permohonan injunksi yang dimohon oleh 1MDB adalah wajar.
Hakim tersebut memutuskan demikian dalam permohonan Najib untuk mengetepikan injunksi mareva yang diperoleh 1MDB dan satu anak syarikatnya bagi menghalangnya daripada melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga AS$681 juta.
Permohonan injunksi mareva sebelah pihak yang dipohon oleh 1MDB dan anak-anak syarikatnya, Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) pada 8 Februari lalu.
Perintah itu juga antara lain menyebut, Najib mestilah membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya sehingga pada nilai AS$681,000,000, sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak, dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.
Selain perintah melarang Najib mengalihkan, melupuskan, mengendalikan atau mengurangkan nilai asetnya di dalam negara, perintah mareva itu juga tidak dibenarkan mengeluarkan wang melebihi RM100,000 sebulan daripada akaunnya untuk perbelanjaan sara hidup biasa dan perbelanjaan guaman.
Perintah itu berkuatkuasa sementara menunggu keputusan akhir kes saman sivil AS$8 bilion yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadap bekas Perdana Menteri dan bekas pengurusan kanan 1MDB.
Selain Najib, turut dinamakan dalam saman itu ialah bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh Choh Heng; bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee; dan bekas Ketua Pegawai Operasi 1MDB Vincent Beng dan Radhi Mohamad.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Pengarah Pelaburan 1MDB, Kelvin Tan Kay Jim; dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn. Bhd., Nik Faisal Ariff Kamil. – Utusan