HomeHiburanSyafiq Kyle buka mulut isu tak jadi nikahi Mimi Lana

Syafiq Kyle buka mulut isu tak jadi nikahi Mimi Lana

CYBERJAYA: Pelakon, Syafiq Kyle mendakwa krisis hubungannya bersama Mimi Lana sudah diselesaikan dengan cara baik.

Menurutnya, mereka kini hanya mahu fokus kepada keluarga dan kerjaya.

Malah, Syafiq juga enggan mengulas apakah dia dan Mimi masih bertunang.

“Saya ambil maklum mengenai isu ini (krisis hubungan dengan Mimi) dan terima kasih saya ucap kepada semua yang ambil berat mengenai saya dan Mimi.

“Saya harap isu ini tidak lagi diulas lanjut sebab perkara ini membabitkan banyak pihak. Saya ambil pendekatan dan berharap isu ini tidak diulas lagi.

“Saya hormati kedua-dua belah pihak dan isu ini pun sudah diselesaikan dengan cara baik antara pihak saya dan Mimi,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Syafiq berkata demikian pada sidang media mempromosikan filem Doh, iaitu naskhah sulung terbitan syarikat produksinya, Indigo Films di Taman Kolonial, Bangunan Sultan Abdul Samad di sini, pada Sabtu.

Untuk rekod, Syafiq dan Mimi mengejutkan peminat apabila majlis pernikahan dan resepsi mereka yang dijadual berlangsung di Puncak Rimba, Bentong, Pahang, pada 18 Ogos lalu, dibatalkan.

Ditanya sama ada hubungan dengan Mimi masih baik, Syafiq atau nama sebenar, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, memberitahu:

“Buat masa sekarang, kami ambil pendekatan dan ruang untuk fokus kepada keluarga dan kerja. Saya harap isu ini tidak dilanjutkan lagi dan tiada ‘follow up’ (susulan),” katanya.

Sementara itu, Syafiq bersyukur projek filem sulung, Doh, mendapat sambutan baik biarpun dihambat kontroversi dengan Mimi.

“Alhamdulillah, saya sertai acara ini dan gembira ramai orang hadir dan beri sambutan meriah untuk ‘first baby’ saya.

“Kita akan hasilkan produk yang baik selepas ini, kami mahu sampaikan mesej (baik) buat masyarakat,” katanya.

Filem Doh membawa penonton mengikuti perjalanan Faiz lakonan Syafiq yang tersepit dengan tanggungjawab menerajui kedai bakeri yang diwarisi daripada bapanya. Situasi menjadi lebih rumit apabila sebuah kedai sama yang moden dan sangat popular, dibuka di kawasan sama.

Faiz berdepan tekanan mempertahankan tradisi dan keunikan bakeri keluarga sambil bersaing dengan usahawan moden yang menarik perhatian pelanggan yang semakin kurang.

Filem Doh adalah kerjasama barisan pelakon berbakat dan arahan sutradara berpengalaman, Ariff Zulkarnain dan Haris M Nor.

Selain Syafiq, Doh menampilkan pelakon seperti Sherlyn Seo, Aida Amron, Fariz Isqandar, Fabian Loo dan ramai lagi.

Author

Pilihan Editor