HomeBeritaMahkamah & Jenayah3 beradik didakwa dera ibu kandung kena tahan

3 beradik didakwa dera ibu kandung kena tahan

SEREMBAN: Beberapa hari selepas tular sebuah video memaparkan seorang wanita warga emas didakwa didera anak kandungnya, tiga beradik lelaki tampil menyerah diri kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, ketiga-tiga mereka yang berusia 17 hingga 29 tahun itu seterusnya ditahan di Ibu Pejabat Port Dickson, di sini pada jam 6.30 petang Khamis.

“Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif. Ketiga-tiganya direman empat hari bermula hari ini (Jumaat),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, polis dalam proses melengkapkan kertas siasatan dengan memanggil beberapa saksi untuk membantu siasatan, sebelum merujuk kepada pihak pendakwaan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, tular video “Derhaka Ibu” yang dimuat naik seorang pemilik akaun di Facebook berkaitan seorang lelaki yang melakukan kekerasan terhadap ibunya.

Author

Pilihan Editor