HomeBeritaAnthony Loke ‘naik angin’, MYAirline lepas tangan

Anthony Loke ‘naik angin’, MYAirline lepas tangan

CYBERJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyifatkan tindakan syarikat penerbangan MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) menggantung operasinya saat akhir, malah ketiadaan kakitangan di lapangan terbang adalah sangat tidak bertanggungjawab.

Katanya, pihak MYAirline wajar bertemu Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) bagi merancang pelan mitigasi sebelum membuat keputusan tergesa-gesa.

“Apa yang berlaku hari ini (Khamis) ialah MYAirline terus menghilangkan diri, mereka menghentikan operasi pukul 6 pagi, bukan sahaja kapal terbang tidak berlepas, malah kakitangan mereka tidak berada di lapangan terbang untuk memberi sebarang maklumat.

“Tiada langsung wakil MYAirline di lapangan terbang. Mereka tinggalkan sepenuhnya kepada operator lapangan terbang untuk menanganinya. Ini sangat tidak bertanggungjawab.

“Jika anda (MYAirline) benar-benar bertanggungjawab, anda sepatutnya maklumkan lebih awal dan bukannya berhenti dengan cara macam ini,” katanya memetik Utusan pada Khamis.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Parlimen semalam.

Dalam pada itu, Anthony difahamkan syarikat terbabit kini mencari pelabur baharu, namun ia sudah tidak lagi bermakna jika Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dibatalkan.

“Mereka mesti datang berjumpa dengan kami dan tidak mengambil tindakan macam ini tanpa ada sedikit kebertanggungjawaban malah membuang pekerja-pekerjanya.

“Soal pekerja itu lain lagi isunya, ramai kakitangan mengadu tidak mendapat gaji. Ada isu berasingan yang perlu mereka hadapi iaitu undang-undang berkaitan pekerja.

“Saya amat kesal dengan apa yang berlaku. Ini secara tidak langsung menjejaskan imej negara sebagai sebuah destinasi bagi penumpang-penumpang domestik dan antarabangsa,” ujarnya.

Pada Khamis, MYAirline mengeluarkan kenyataan mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa 12 Oktober 2023 sehingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu.

Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu berkata, keputusan penggantungan dibuat kerana tekanan kewangan menyebabkan operasi perlu digantung, sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.

@mediavariasinews

Pihak MYAirline wajar bertemu Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) bagi merancang pelan mitigasi sebelum membuat keputusan tergesa-gesa. – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke #flight #myairline #Malaysia

♬ original sound – Media Variasi News – Media Variasi News

Author

Pilihan Editor