HomeBeritaBayi 16 bulan maut dalam kereta di Kuala Nerus

Bayi 16 bulan maut dalam kereta di Kuala Nerus

KUALA NERUS: Seorang bayi perempuan berusia 16 bulan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam kereta di sebuah universiti awam (UA), di sini pada Selasa.

Siasatan awal polis yang menerima laporan kejadian itu jam 4.30 petang mendapati, bapa mangsa dikatakan terlupa menghantar anaknya ke pusat asuhan yang terletak dalam kampus UA terbabit sebelum ke tempat kerja di universiti sama.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, polis juga dimaklumkan oleh kakitangan pusat kesihatan di UA berkenaan, bahawa bayi terbabit disahkan sudah meninggal dunia.

“Sebaik menerima laporan, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati bayi itu sudah meninggal dunia. Mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

“Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Abdul Rahim berkata, polis akan mengambil keterangan daripada penjaga bayi terbabit bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan emosi keluarga mangsa.

Author

Pilihan Editor