HomeBeritaFacebook SPA Perak digodam, orang ramai diminta layari laman web SPA

Facebook SPA Perak digodam, orang ramai diminta layari laman web SPA

CYBERJAYA: Facebook rasmi milik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Negeri Perak baru-baru ini, dilapor telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

SPA Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, orang ramai boleh melayari laman sesawang https://spa.perak.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat terkini.

“Dimaklumkan bahawa Pejabat ini telah mengambil tindakan sewajarnya sejak awal perkara tersebut berlaku dan kini berada di bawah tindakan pihak berwajib. 

“Oleh itu, Pejabat ini menegaskan laman tersebut bukan lagi merupakan medium rasmi Pejabat ini dan semua pihak disarankan mendapatkan maklumat terkini yang berkaitan dari Laman Web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Perak,” katanya.

Dalam pada itu, SPA Perak turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk orang awam yang prihatin terhadap masalah yang berlaku.

Semalam, SPA Perak dalam kenyataan memaklumkan, laman sosial Facebook milik agensi itu telah digodam pihak tidak bertanggungjawab sekitar 12 tengah hari.

Penggodam bertindak memuat naik sejumlah video yang memaparkan beberapa wanita berpakaian seksi serta melakukan aksi tidak senonoh.

Setakat artikel ini ditulis, didapati penggodam masih aktif dalam memuat naik video-video lucah di Facebook terbabit.

Author

Pilihan Editor