HomeBeritaJPJ Perak kutip RM370,720 lelong kenderaan

JPJ Perak kutip RM370,720 lelong kenderaan

IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak merekodkan kutipan sebanyak RM370,720 hasil lelongan 78 kenderaan pelbagai jenis yang di sita di Pejabat JPJ negeri di sini hari ini.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, bidaan tertinggi melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dengan nilai lelongan RM24,600.

Katanya, seramai 100 pembida mengambil bahagian dalam lelongan yang diadakan bermula pukul 9 pagi.

“Bagi siri lelongan kali ini, sebanyak 78 buah kenderaan dilelong melibatkan 21 buah kereta, 47 buah motosikal, tiga buah van, lima buah lori dan masing-masing sebuah bas dan jip

“Daripada jumlah itu, sebanyak 18 buah kenderaan tidak boleh dilesenkan dan 41 buah kenderaan klon,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, pada lelongan tersebut, harga tawaran terendah dimulakan dengan nilai RM100 bagi motosikal Modenas CT100 tahun 2013 manakala harga tawaran tertinggi membabitkan kereta Honda Integra tahun 2005 dengan bidaan permulaan sebanyak RM17,700.

Katanya, pembida yang berjaya membida kenderaan perlu menyelesaikan urusan pertukaran hak milik dalam tempoh tujuh hari dari tarikh lelongan selaras dengan Seksyen 13 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Bagi lelongan siri 1/2023 Mei lalu, kita berjaya merekodkan kutipan sebanyak RM487,750 hasil lelongan 41 kenderaan sita. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kutipan bagi dua siri lelongan adalah sebanyak RM858,470,” katanya. – Utusan

Authors

Pilihan Editor