HomeBeritaKos haji dijangka naik 11 peratus tahun depan – TH

Kos haji dijangka naik 11 peratus tahun depan – TH

 

KUALA LUMPUR: Kos haji dijangka meningkat 11 peratus secara purata pada tahun hadapan.

Ia berikutan faktor-faktor yang berada di luar kawalan Tabung Haji (TH) seperti kos penginapan, pengangkutan, penerbangan, makan minum dan lain-lain caj perkhidmatan.

Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, ia merupakan rentetan pasca atau kesan akibat pandemik Covid-19 yang lepas.

“Bermula setahun ke dua tahun lepas selepas Covid-19, kos meningkat dua kali ganda. Kos yang naik melibatkan hotel, pekerja makanan dan barang termasuk kos untuk sistem baru (visa).

“Perkembangan keperluan semasa juga menjadi salah satu faktor, sebab trend kenaikan sangat jelas namun seperti yang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar katakan, bantuan akan diberi sebolehnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Sempena Tamat Operasi Haji Musim 1444 Hijrah, di Menara TH, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Na’im ketika berucap di majlis sama berkata, TH meneruskan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar bagi mengurangkan beban jemaah haji golongan B40 dan M40.

Namun katanya, beliau mengalu-alukan sekiranya bakal-bakal haji akan datang memenuhi konsep ‘istito’ah’ atau berkemampuan.

“Bantuan Kewangan Haji yang diberikan oleh TH musim haji lalu sahaja mencecah RM265 juta.

“Melihat kepada jumlah perbelanjaan besar yang perlu ditanggung oleh Tabung Haji, ‘istito’ah’ amat dialu-alukan atas kesedaran untuk membuat bayaran penuh kos haji bagi membolehkan TH menumpukan bantuan kewangan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Jemaah yang memilih untuk membayar penuh bayaran haji yang dikenakan bukan sahaja menghayati konsep istito’ah tetapi insya-Allah akan meraih lebih barakah daripada ibadat haji mereka,” jelasnya.

Sebelumnya media melaporkan, 400 jemaah B40 yang layak menerima bantuan bersasar menunaikan haji tahun ini, menolak tawaran itu atas faktor kemampuan menunaikan Rukun Islam kelima berkenaan.

Mohd Na’im berkata, mereka mengambil insiatiaf itu bagi memberi laluan kepada jemaah lain yang lebih memerlukan. – Kosmo!

Author

Pilihan Editor