HomeBeritaMalaysia mahu heret Israel ke ICJ

Malaysia mahu heret Israel ke ICJ

 

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang bekerjasama dengan negara-negara lain untuk membawa isu kekejaman Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, hasrat itu susulan daripada tindakan pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang telah membuka siasatan ke atas situasi Palestin pada Mac 2021 terhadap dakwaan jenayah dilakukan Israel sejak 13 Jun 2014.

Menurut beliau, ia hasil pra-perbicaraan yang dilaksanakan pada Februari 2021 bagi menentukan sama ada ICC mempunyai bidang kuasa ke atas situasi Palestin selepas pihak pendakwarayanya memutuskan kriteria-kriteria berkanun di bawah Statut Rom dipenuhi bagi membuka siasatan terhadap Israel.

“Justeru, situasi Palestin sudah dalam proses siasatan ICC, Malaysia akan sentiasa menyeru dan bekerjasama dengan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta negara sepemikiran agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dapat merujuk isu kekejaman Israel bukan sahaja ke ICC, malah ke ICJ,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, PBB telah menerima pakai resolusi meminta agar ICJ memberi pendapat nasihat berhubung isu berkaitan Palestin pada 30 Disember 2022.

“Lanjutan itu, Malaysia telah mengambil bahagian dalam mengemukakan kenyataan bertulis bagi mendapatkan pendapat nasihat berhubung isu Palestin yang telah diserahkan kepada pendaftar ICJ pada 25 julai 2023.

“Kenyataan berkenaan memberi fokus kepada pencabulan hak rakyat Palestin. Jadi, Malaysia juga bercadang untuk menyertai sesi lisan dijangka berlangsung pada 19 Februari 2024 dalam proses mendapatkan pendapat nasihat ICJ berhubung isu Palestin. Ini melambangkan komitmen jitu berterusan negara dalam membantu mencari penyelasaian konkrit terhadap isu dan konflik di Palestin,” katanya.

Pendirian

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai pendirian dan tindakan yang lebih tegas dalam isu konflik di Palestin seperti mendesak agar Benjamin Netanyahu dihadapkan ke ICC.

Ketika diminta mendedahkan identiti negara yang mengugut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia sesuatu yang bukan kebimbangan ketika ini.

“Elok kita tidak namakan siapa mereka, tetapi seperti mana ditegaskan, kita tidak gentar dengan sebarang ugutan yang dilakukan oleh pihak mereka,” katanya.

Katanya, Malaysia akan terus memberi tekanan di peringkat antarabangsa supaya Israel menghentikan serangan terhadap Gaza.

“Sudah lebih dua minggu konflik ini berlaku, tapi serangan besar-besaran yang dikatakan masih belum dilakukan, namun kita tidak boleh mengambil mudah sebab itu Malaysia bertungkus lumus memastikan perkara itu tidak dilakukan.

“Kita meminta langkah memberhentikan sebarang bentuk serangan ke arah Gaza disegerakan dan kita akan teruskan perjuangan bagi memastikan akhirnya isu Palestin dapat diselesaikan,” katanya. – Utusan

Author

Pilihan Editor