HomeSukanPan Gon umum skuad Pestabola Merdeka

Pan Gon umum skuad Pestabola Merdeka

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 25 pemain yang dipanggil ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon bagi menyertai kem latihan pusat bermula Jumaat ini.

Kem latihan itu sebagai persiapan bagi Harimau Malaya menghadapi Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 13 hingga 17 Oktober ini.

Berdasarkan senarai itu, Pan Gon mengekalkan 21 daripada 25 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu bagi perlawanan antarabangsa menentang Syria dan China di Chengdu, China, bulan lalu.

Baki pemain lain terdiri daripada tiga tonggak skuad bawah 23 (B-23) kebangsaan yang beraksi pada Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand termasuk Azam Azmi Murad, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Nooa Laine.

Malah, Pan Gon turut memanggil muka baharu iaitu penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin selepas dia dilihat beraksi cemerlang bersama skuad Penyu musim ini.

Pengendali dari Korea Selatan itu meletakkan 27 pemain dalam senarai bersedia termasuk pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) Afiq Fazail, Nathaniel Hong Wan, Syafiq Ahmad dan Mohamadou Sumareh.

“Setiap tahun kita menghadapi kejohanan dan ini salah satu pertandingan, tetapi ia penting. Apa yang saya tahu ini kejohanan yang bersejarah.

“Ketika saya masih muda, saya berada di Korea dan saya mendengar mengenai kejohanan Pestabola Merdeka dan Korea pernah menyertainya.

“Bagi kami, kami sentiasa mahu berjuang untuk memberikan keputusan dan persembahan terbaik kepada peminat. Ia tugas kami dan kami cuba menjadi juara dalam kejohanan ini,” kata Pan Gon, lapor Berita Harian.

Malaysia akan berdepan India dalam aksi pertama Pestabola Merdeka 2023, 13 Oktober ini manakala Palestin menentang Tajikistan pada hari yang sama.

Pemenang perlawanan itu akan mara ke final dan pasukan yang tewas pula bersaing merebut tempat ketiga dengan kedua-dua aksi dijadual berlangsung pada 17 Oktober ini.

Senarai 25 pemain Harimau Malaya:

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies, La’vere Corbin-Ong, Endrick Dos Santos, Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Sharul Nazeem Zulpakar, Brendan Gan, Faisal Halim, Quentin Cheng, Mukhairi Ajmal Mahadi, Dominic Tan, Daniel Ting, Stuart Wilkin, Darren Lok, Sergio Aguero, Nur Shamie Iszuan Amin, Suhaimi Husin, Azam Azmi Murad, Paulo Josue, Azri Ghani, Dion Cools, Junior Eldstal, Nooa Laine.

Author

Pilihan Editor