HomeBeritaPSM kesal pemimpin masih bisu isu usir petani di Kanthan

PSM kesal pemimpin masih bisu isu usir petani di Kanthan

CYBERJAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) kesal apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohamad Sabu masih belum bersuara menyatakan pendirian mereka, sejak operasi mengusir petani di Kanthan, Tambun, Perak dilaksanakan pada Selasa.

Setiausaha Agung PSM, Sivarajan A menyifatkan kebisuan kedua-dua pemimpin itu dalam menangani isu tersebut sebagai satu penganiayaan kepada bukan sahaja para petani, malah rakyat Malaysia yang memberi tangungjawab kepada kerajaan untuk menguruskan bekalan dan stok makanan tempatan.

“Mohamad Sabu juga pernah menyatakan bahawa Malaysia mampu mengurangkan kebergantungan bekalan import jagung bijian dari luar negara sekiranya dapat mencapai 50 peratus pengeluaran domestik dalam masa lima tahun akan datang.

“Maka kenapa pula hancurkan tanah pertanian dan tanaman jagung di Kanthan?

“Oleh itu, PSM mendesak campur tangan segera Anwar dan Mohamad Sabu menghentikan segera operasi meranapkan hasil tanaman jagung dan sayuran yang sedang berlaku sekarang, dan menyelesaikan isu petani Kanthan khususnya dan Perak secara keseluruhan dengan segera,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Selasa, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan mengesahkan empat individu termasuk tiga ahli politik ditahan, selepas menghalang tugas penguatkuasaan ke atas sekumpulan petani di tapak projek Silver Valley Technology Park, Kanthan, Chemor.

Katanya, mereka semua ditahan ketika operasi bersepadu diterajui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak yang turut disertai beberapa agensi lain termasuk badan berkanun kerajaan negeri, selain polis berperanan menjaga keamanan sepanjang operasi.

Mengulas lanjut, Sivarajaan menyifatkan tindakan kerajaan Perak meranapkan tanah pertanian, yang berupaya menghasilkan sayur-sayuran seberat 60 tan sehari untuk rakyat sebagai tidak masuk akal.

Apatah lagi, katanya, ia dilakukan ketika negara menghadapi krisis kos harga makanan yang melambung.

“Operasi menghapuskan segala tanaman yang terdiri daripada jagung, bayam, sawit, belimbing dan daun bawang seluas 25 hektar masih berterusan hari ini, setelah para petani yang mengusahakan tanah ini selama tiga generasi diusir, dikasari dan ditahan semalam (Selasa),” ujarnya.

Tangkap layar video aktivis PSM, Chong Yee Shan mengalami kecederaan di mulut dan hidungnya, selepas mendakwa ditolak oleh anggota PTG Perak pada Selasa.

Dalam operasi sama, aktivis PSM, Chong Yee Shan mengalami kecederaan di mulut dan hidungnya selepas mendakwa ditolak oleh anggota PTG Perak berhampiran sebuah ladang di kawasan tersebut.

Ini selepas petani dan aktivis berkenaan cuba menghalang mereka yang datang ke lokasi dengan jentolak dan jengkaut untuk mengusir enam petani.

Kira-kira 200 petani dan pekebun terlibat dalam sektor berkenaan di Kanthan, yang dianggap sebagai satu-satunya kawasan pengeluaran sayur-sayuran terbesar di negeri ini.

Keenam-enam petani yang berdepan dengan pengusiran pada Selasa menerima notis bertarikh 13 Oktober, memaklumkan bahawa ladang mereka terletak di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan diarah mengosongkan tapak itu dalam tempoh seminggu.

Para petani bersetuju untuk mematuhi arahan itu namun memohon jasa kerajaan negeri agar menawarkan tanah alternatif, memandangkan mereka telah lama bekerja di ladang.

Author

Pilihan Editor