HomeBeritaRakyat Malaysia terperangkap dalam perang ketika ziarah keluarga mentua di Gaza selamat

Rakyat Malaysia terperangkap dalam perang ketika ziarah keluarga mentua di Gaza selamat

 

KUALA LUMPUR: Wanita warga Malaysia yang terperangkap di wilayah Khan Younis, Gaza, sudah menghubungi pihak Kedutaan Malaysia dan dimaklumkan proses evakuasi sedang diuruskan.

Nurul Ain Haron, 37 yang tinggal di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama suaminya Mohamed Adnan Shaat 33, memberitahu, beliau sekeluarga berada di Gaza kerana bercuti.

“Suami sudah sembilan tahun tidak bertemu keluarganya di sini. Kami diberikan rezeki untuk pulang ke sini, namun tidak sangka keadaan jadi begini.

“Maaf,Internet terputus, bateri saya juga sudah habis sebab disini tidak ada bekalan elektrik. Bekalan sudah terputus sejak dua hari lepas,” katanya dalam mesej suara yang dikirim melalui aplikasi WhatsApp kepada BH.

Nurul Ain berkata, beliau sudah menghubungi Kedutaan Malaysia di Jordan dan dimaklumkan ada perancangan untuk membawanya keluar.

“Mereka kata akan ambil masa, keadaan di sini memang teruk sangat dengan bedilan bom tak berhenti.

“Alhamdulillah. Alhamdulillah kami selamat. Kami ahli keluarga ramai, lebih daripada 15 orang di sini,” katanya.

Beliau meminta rakyat Malaysia terus mendoakan keselamatan mereka di Gaza dan memberi tekanan kepada Israel supaya bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada penduduk.

Sebelum ini BH melaporkan Nurul Ain berkongsi video keadaan yang perit di Gaza.

Dalam video berdurasi lebih seminit itu, Nurul menunjukkan keadaan penduduk Gaza yang terputus bekalan air dan elektrik, terpaksa mencari sumber lain demi kelangsungan hidup mereka di wilayah terkepung itu selepas beberapa hari diserang secara berterusan tentera Israel.

Lebih 250,000 penduduk Gaza kini terpaksa berlindung di kawasan sekolah kendalian Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) selepas kediaman masing-masing musnah dalam serangan bom berterusan Israel. – Berita Harian

 

Author

Pilihan Editor