HomeBerita7 kes hukuman mati, 4 lagi penjara sepanjang hayat disemak semula

7 kes hukuman mati, 4 lagi penjara sepanjang hayat disemak semula

CYBERJAYA: Tujuh banduan yang berdepan hukuman mati bagi kesalahan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 telah melalui semakan hukuman mati, mengikut Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 pada Selasa.

Selain itu, seramai empat banduan juga melalui semakan bagi hukuman pemenjaraan sepanjang hayat mengikut akta sama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kedua-dua penyemakan itu dilaksanakan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya selepas mekanisme pelaksanaannya dipersetujui Jemaah Menteri.

“Ini membuktikan bahawa prinsip ‘restorative justice’ dalam sistem keadilan jenayah adalah sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Azalina berkata, pelaksanaan hukuman mati bagi kesalahan-kesalahan jenayah masih kekal dalam sistem pentadbiran jenayah di negara ini.

“Namun, pengenaan hukuman mati bukan lagi mandatori seperti sebelum ini dan pindaan undang-undang telahpun memberi pilihan kepada hakim untuk menggunakan budi bicara masing-masing dalam mengenakan hukuman sewajarnya seperti diperuntukkan dalam undang-undang berkenaan,” katanya.

Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dikuatkuasakan pada 4 Julai, manakala Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 pada 12 September.

Pada 3 April, dua rang undang-undang itu diluluskan di Dewan Rakyat dengan beberapa pindaan termasuk memansuhkan hukuman mati mandatori kepada pesalah melibatkan beberapa akta, termasuk Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Penculikan 1961, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengikut pindaan itu, tiada lagi hukuman pemenjaraan sepanjang hayat sebagai alternatif kepada hukuman mati mandatori, sebaliknya hukuman pemenjaraan antara 30 tahun hingga 40 tahun.

Azalina berkata, secara keseluruhan terdapat seramai 1,020 banduan hukuman mati dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat layak mengemukakan permohonan.

“Setakat 9 November, pihak Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) menerima permohonan semakan sebanyak 978 kes iaitu 861 permohonan bagi semakan hukuman mati dan 117 permohonan semakan pemenjaraan sepanjang hayat,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor