HomeBerita‘Banjir di Bangi kali ini paling teruk’

‘Banjir di Bangi kali ini paling teruk’

 

BANGI: “Kami sudah tidak larat, hampir setiap hujung tahun, terpaksa hadapi perkara sama, tetapi kali ini paling terburuk”.

Itu luahan penduduk Kampung Bangi Lama di sini, Mohd. Zulfazli Mohd. Zin, 35, mengenai kejadian banjir di kampung itu baru-baru ini.

Untuk itu dia meminta agensi berkaitan turun padang dan membaiki keadaan sungai serta longkang bagi mengelak masalah banjir berulang.

“Kami menyeru pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak yang berkenaan datang dan uruskan longkang dan sungai supaya dalam keadaan baik dan tidak menyebabkan air naik terlalu cepat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, penduduk terpaksa menampung kerugian hampir puluhan ribu ringgit akibat banjir itu.

Muhd. Rusydi Othman, 29, pula berkata, dia tidak sempat menyelamatkan barangan rumah, barang persekolahan anak dan kereta kerana air yang naik dengan sangat cepat sekitar pukul 3 pagi, Ahad lalu.

“Yang saya mampu selamatkan adalah kakak saya yang berada dalam pantang serta anak kecilnya, itu pun saya terpaksa angkatnya untuk duduk di atas kereta kerana air naik pantas.

“Keluarga saya kerugian RM40,000 ditambah lagi de­ngan kereta yang tenggelam dalam air lumpur,” katanya.

Katanya, banjir kali ini tidak dijangka dan yang paling teruk sepanjang hidup­nya kerana paras air naik dengan cepat.

Sementara itu seorang lagi penduduk, Khairul Azwan Abd. Karim, 45, berkata, dia terpaksa duduk di atas tembok rumah dan menunggu tiga jam untuk mendapatkan bantuan bomba.

“Kali ini banjir yang sangat buruk dan saya tidak menyangka macam ini, hampir semua barang saya musnah,” katanya.

Katanya, pihak JPS perlu baiki semula perparitan dan sungai tersebut kerana inilah salah satu punca banjir di kawasan itu.

Dalam pada itu tinjauan Utusan Malaysia di Semenyih pula mendapati, penduduk meluahkan perasaan ekoran banjir yang puncanya sama daripada kecuai­an pihak tidak bertanggungjawab.

Penduduk di Taman Semenyih Permata, Zakaria Shari, 67, berkata, setiap kali hujan pasti air akan naik ke rumah dan ini bukan kali pertama malah sudah lebih lima kali banjir sejak 2001.

“Yang menjadi masalahnya sekarang kenapa ada longkang monsun di dalam taman ditambah lagi kolam tadahan yang tidak diselenggara dengan baik. Semasa kami membeli rumah di dalam pelan asal tiada longkang monsun tetapi sewaktu kami tinggal di sini tiba-tiba ada pula.

“Banjir ini juga berpunca dari­pada kilang-kilang yang beroperasi di atas bukit bersebelahan dengan perumahan kami, bila diratah tanah dan bila hujan, air akan membawa lumpur turun ke bawah,” katanya.

Zakaria berkata, pihak pemaju perlu melihat masalah dan keadaan menjadi semakin teruk akibat daripada kolam tadahan tidak diselenggara dengan baik.

Dalam pada itu penduduk di Kampung Sentosa turut meluahkan perkara sama.

Zulkarnain Ramli, 33, berkata, hujan lebat kali ini memberi kesan yang teruk sehingga menyebabkan ada beberapa rumah di kampung tersebut terputus bekalan makanan akibat daripada jalan utama yang runtuh.

“Kerajaan perlu bertindak segera membaiki jalan utama kampung kerana sesetengah penduduk menyara hidup de­ngan berniaga, jadi akibat jalan yang terputus, mereka tidak dapat berniaga untuk menampung hidup mereka,” katanya.

Ketua Kampung Sentosa, Muhammad Safuan Hasri Zoolkaflee, 46, berkata, banjir kali ini memang tidak dijangka dan pa­ling teruk sehingga menyebabkan jalan ke kampung runtuh.

“Saya harap pembinaan jalan perlu dilakukan dengan segera,” katanya. – Utusan

Author

Pilihan Editor