HomeGlobalDua kanak-kanak terjatuh dari Ferris Wheel rosak

Dua kanak-kanak terjatuh dari Ferris Wheel rosak

SEORANG kanak-kanak perempuan berdepan detik cemas selepas buaian berpusing (Ferris Wheel) yang dinaikinya mengalami kerosakan pada Selasa lalu.

Dalam kejadian di tapak pesta ria atau ‘fun fair’ dekat Rio Preto da Eva, Brazil itu, kerosakan secara tiba-tiba pada buaian tersebut mengakibatkan kanak-kanak berusia 11 tahun berkenaan tergelincir dari tempat duduknya.

Difahamkan, tempat duduk dia dan rakannya tidak dikunci dengan cermat ketika buaian itu bergerak.

Ini seterusnya mengakibatkan dia dan rakannya yang berusia 13 tahun terjatuh.

Dia berjaya bergayut pada tempat duduk, manakala rakannya terjatuh pada ketinggian lebih enam meter.

Menerusi video yang sempat dirakam orang awam, kanak-kanak itu terlepas cengkamannya sebelum jatuh ke tanah manakala jeritannya turut kedengaran.

Kanak-kanak itu juga dilihat melanggar salah satu struktur besi ketika terjatuh ke tanah.

Pada masa sama, pasukan paramedik bergegas ke lokasi kejadian untuk memberi pertolongan cemas kepada pasangan kanak-kanak tersebut.

Kedua-duanya dikejarkan ke hospital terdekat sebelum dipindahkan ke hospital besar di bandar Manaus.

Kanak-kanak berusia 11 tahun itu sudah dibenarkan pulang, manakala rakannya masih dirawat selepas mengalami kecederaan pada pelvisnya.

Sementara itu, bapa kanak-kanak berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Raimundo Claudinei turut berada di lokasi bersama anaknya yang lain ketika tragedi tersebut

“Ketika Ferris Wheel melakukan kira-kira lima pusingan, saya menyedari ada sesuatu yang tidak kena.

“Ketika itulah saya melihat mereka sudah tergantung sebelum terjatuh.

“Saya sedang menjaga anak saya berusia tujuh tahun ketika itu dan saya tidak tahu apa yang boleh saya lakukan,” katanya seperti dilapor Daily Mail.

Lelaki itu berkata, dia merancang untuk memfailkan saman dan mengambil tindakan undang-undang terhadap taman hiburan tersebut selepas anaknya pulih.

Pihak berkuasa mengarahkan penutupan taman tema tersebut, manakala laporan polis sudah pun dibuat berhubung kejadian tersebut.

 

 

Author

Pilihan Editor