CYBERJAYA: Polis menafikan hantaran tular yang mendakwa, seorang anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang melontarkan komen jelik terhadap Perdana Menteri.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 8.31 pagi Selasa.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati, hantaran tular di laman X itu telah dimuat naik oleh pengguna @OrenjiRenOren pada jam 9.30 malam Isnin.
“Berdasarkan tangkap layar perbualan, anggota polis bernama Azizy dengan nombor telefon 012-335 0495 disyaki bertugas di IPD Sepang.
“Semakan nombor telefon terbabit melalui sistem i-PRS dan cawangan HRMIS, Bukit Aman mendapati penama bukan polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tegasnya, komen jelik terhadap Perdana Menteri yang didakwa dikeluarkan oleh anggota IPD Sepang adalah tidak benar.
Orang ramai juga diminta agar tidak berkongsi maklumat yang tidak tepat sehingga boleh menimbulkan kegusaran awam.