HomeBeritaJohor warta 81km jarak baharu dua marhalah

Johor warta 81km jarak baharu dua marhalah

JOHOR BAHRU: Fatwa 81 kilometer (km) jarak baharu dua marhalah sebagai syarat sah solat jamak dan qasar serta hukum fiqah lain, sudah diwartakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada Khamis minggu lalu.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, fatwa itu diwartakan dalam Warta Kerajaan Johor bertarikh 9 November lalu, mengikut ketetapan Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 (Enakmen 16 Tahun 2003).

“Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, atas perintah dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan, menyediakan fatwa yang dinyatakan untuk disiarkan menurut Subseksyen 48 (6) enakmen itu.

“Adalah ditetapkan bahawa penentuan kadar dua marhalah bagi musafir untuk menunaikan ibadah solat jamak dan qasar serta hukum-hukum fiqah lain yang memberi keringanan (rukhsoh) adalah 81km,” katanya.

Pada 25 April tahun lalu, jawatankuasa berkenaan membuat keputusan penetapan kadar dua marhalah adalah 81km setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut.

Ia selaras keputusan yang dibuat mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-118 pada 16 hingga 17 Februari 2021.

Muzakarah berpendapat bahawa, hukum penentuan kadar dua marhalah, kariah dan balad dari perspektif fiqah semasa adalah adalah 81km (taqribi) dengan persempadan dan penentuan kariah serta balad adalah mengikut empat pilihan.

Pilihan pertama persempadanan dan peneruan kariah serta balad boleh mengikut kaedah, uruf dan ketetapan negeri-negeri selaras akta atau enakmen negeri.

Ia juga boleh mengikut peta yang dikeluarkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) atau peta disediakan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) melalui sistem i-PLAN.

Pilihan keempat persempadanan dan penentuan kariah serta balad juga boleh mengambil kira populasi kepadatan satu-satu penempatan secara vertikal seperti kondominium, rumah pangsa dan seumpamanya yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Author

Pilihan Editor