SIAPA dekat sini yang kerap berdengkur?
Mungkin anda tidak menyedarinya namun, ia boleh mengganggu orang lain seperti pasangan dan ahli keluarga anda.
Menurut Hello Doktor, dengkuran berlaku apabila terdapat halangan dalam aliran udara melalui saluran pernafasan atas semasa sedang tidur.
Punca terjadinya dengkuran adalah disebabkan daripada kelemahan otot leher, kegemukan atau bentuk anatomi rahang dan tekak yang unik.
Pergerakan udara yang terhalang itulah menyebabkan getaran pada tisu lembut di tekak lalu menghasilkan bunyi dengkuran yang sering kita dengar setiap malam.
Menariknya, bunyi dengkuran yang dihasilkan oleh individu dewasa biasanya lebih kuat berbanding kanak-kanak atau remaja.
Oleh itu, jom lihat cara hilangkan dengkur menurut Hello Doktor:
1. Mengubah posisi tidur
Tidur terlentang boleh menyebabkan lidah dan tisu lembut di tekak jatuh ke belakang dan menyekat saluran udara.
Mengubah posisi tidur seperti tidur secara mengiring boleh membantu mengurangkan halangan ini.
2. Kurangkan berat badan
Berat badan berlebihan sebenarnya boleh menyebabkan lemak terkumpul di sekitar leher lalu menyempitkan saluran udara.
Menurunkan berat badan dapat membantu melebarkan saluran udara tersebut dan menghilangkan bunyi berdengkur ketika tidur.
3. Elakkan pengambilan minuman beralkohol
Alkohol boleh mengendurkan otot-otot tekak, menyebabkan otot ini lebih mudah bergetar dan menghasilkan bunyi berdengkur.
Elakkan pengambilan alkohol dapat membantu mengurangkan intensiti kejadian berdengkur.
4. Menguruskan alergi atau alahan
Alergi atau alahan yang tidak terkawal boleh menyebabkan kesesakan hidung dan kesukaran bernafas.
Menguruskan alergi dengan pengambilan ubat atau perubahan gaya hidup akan mengurangkan masalah berdengkur anda.
5. Guna alat bantu pernafasan
Alat seperti CPAP (continuous positive airway pressure) boleh membantu menghantar aliran udara secara berterusan ke dalam saluran pernafasan anda.
Ia membantu memastikan agar saluran pernafasan ini tetap terbuka semasa tidur, seterusnya mengurangkan bunyi dengkuran.
4 cara hilangkan dengkur secara tradisional
Terdapat juga beberapa kaedah atau cara tradisional yang boleh dicuba untuk mengurangkan bunyi dengkuran.
Antaranya ialah:
- Madu dan halia
Campuran madu dan halia dikatakan mempunyai sifat antiradang dan dapat membantu mengurangkan pembengkakan dalam saluran pernafasan.
Bengkak dalam saluran pernafasan juga boleh menyebabkan dengkur.
- Minyak eucalyptus
Minyak ini diketahui dapat membantu membuka saluran nafas yang tersumbat dan memudahkan pernafasan semasa anda sedang tidur.
- Senaman lidah dan rahang
Senaman lidah dan rahang dilakukan bertujuan untuk menguatkan otot-otot di sekitar mulut dan tekak.
Kaedah ini juga dapat mengurangkan kecenderungan untuk berdengkur.
- Teh herba
Teh herba seperti chamomile dikatakan boleh membantu mengendurkan otot dan mengurangkan kekejangan yang boleh menyebabkan kejadian berdengkur.
Selamat mencuba!