HomeBeritaLapan barangan disenarai dalam SHMMP Deepavali

Lapan barangan disenarai dalam SHMMP Deepavali

CYBERJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menetapkan sebanyak lapan jenis barangan disenarai dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali, yang akan bermula Khamis ini sehingga 15 November depan.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia meliputi bawang merah besar import, bawah merah kecil (India) tidak termasuk ros, cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kacang dal (Australia), kelapa biji, kelapa parut dan tomato.

Beliau berkata, pelaksanaan skim itu dijalankan selama tujuh hari, iaitu tiga hari sebelum dan tiga hari selepas perayaan Deepavali.

“Tempoh pelaksanaan SHMMP Deepavali 2023 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa bagi menjamin kestabilan harga kepada kedua-dua pihak sama ada di peringkat pengguna mahupun peniaga.

“Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar tukaran wang asing, kadar upah dan faktor-faktor luaran seperti ekonomi global,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Senarai harga barangan dalam SHMMP Deepavali, yang akan bermula Khamis ini sehingga 15 November depan. -Foto: FB KPDN Laman Rasmi

Jelasnya, penentuan harga dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi kerajaan dan pemain industri.

Katanya, SHMMP Deepavali 2023 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Harga maksimum yang telah ditetapkan untuk SHMMP Deepavali di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di www.kpdn.gov.my,” katanya.

Maklumnya lagi, pengawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan meneruskan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik.

Ia termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan bagi menjalankan penguatkuasaan untuk melindungi pengguna daripada peniagaa yang tidak beretika.

“Kementerian sentiasa menjalinkan kerjasama dengan KPKM untuk memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP.

“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya,” katanya.

Author

Pilihan Editor