HomeBeritaMahkamah & JenayahNasib Isa Samad kekal dijel atau sebaliknya diketahui esok

Nasib Isa Samad kekal dijel atau sebaliknya diketahui esok

PUTRAJAYA: Keputusan rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, terhadap sabitan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta atas kesalahan rasuah akan diketahui esok.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah, akan membuat keputusan berkenaan jam 9 pagi.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, 74, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya semua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Ketika prosiding rayuan 16 Oktober lalu, peguam bela Mohd Isa, Datuk Salehuddin Saidin, berkata anak guam perlu dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan kerana fakta kes menunjukkan tiada bukti Mohd Isa menerima wang berkenaan.

Beliau juga berhujah bahawa Mahkamah Tinggi menggunakan prinsip undang-undang salah kerana gagal memberi perhatian sewajarnya kepada semua keterangan yang tidak dinilai secara keseluruhan sebelum membuat kesimpulan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, berhujah Mohd Isa berhasrat untuk mendapatkan suapan walaupun tidak berurusan secara langsung dengan ahli perniagaan Sarawak, Ikhwan Zaidel, dalam mana-mana urus niaga yang membabitkan jumlah berkenaan.

Suapan berkenaan dikatakan diterima oleh Mohd Isa melalui bekas pembantunya, Muhammad Zahid Arip Zahid.

Afzainizam berkata, suapan itu dibayar kerana bimbang Mohd Isa mungkin menggunakan pengaruhnya untuk membatal atau menangguhkan pembayaran bagi pengambilalihan hotel itu, sambil menambah bahawa anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd sebelum ini menolak cadangan untuk membeli hotel itu. – Berita Harian

 

Author

Pilihan Editor