HomeGlobalRatusan kilang pakaian ditutup di Bangladesh angkara protes

Ratusan kilang pakaian ditutup di Bangladesh angkara protes

DHAKA: Beratus-ratus kilang pakaian di Bangladesh ditutup apabila beribu-ribu pekerjanya mengadakan protes ganas untuk menuntut kenaikan gaji hampir tiga kali ganda, kata polis hari ini.

Kira-kira 3,500 kilang pakaian Bangladesh menyumbang kira-kira 85 peratus daripada AS$55 bilion (RM261.33 bilion) eksport tahunan negara Asia Selatan itu, dengan membekalkan jenama Barat utama termasuk Adidas, Gap, H&M dan Levi Strauss.

Bagaimanapun pendapatan kira-kira empat juta pekerja sektor itu yang sebahagian besarnya wanita sangat tidak setimpal berikutan mereka hanya dibayar gaji bulanannya bermula dengan 8,300 taka (AS$75 atau RM356.36).

Menurut polis, pekerja merosakkan berpuluh-puluh kilang di seluruh Gazipur dan kawasan kejiranan industri lain di pinggir ibu kota Dhaka sejak protes bermula Sabtu lalu.

“Lebih 250 kilang pakaian ditutup disebabkan tunjuk perasaan itu. Sehingga 50 kilang telah digeledah dan dirosakkan, termasuk empat atau lima yang dibakar.

“Apabila satu kilang dirosakkan, kilang berdekatan tidak mahu beroperasi,” kata Ketua Polis Gazipur, Sarwar Alam kepada AFP.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis, Ashulia Mahmud Naser, berkata sekurang-kurangnya 50 ‘kilang berskala besar’ yang menggaji lebih 15,000 pekerja di bandar perindustriannya turut ditutup.

Dua pekerja terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera sejak protes bermula, menurut angka rasmi polis.

Persatuan Pengilang dan Pengeksport Pakaian Bangladesh (BGMEA) yang mewakili pemilik kilang, menawarkan kenaikan gaji sebanyak 25 peratus.

Ikrar itu sangat kurang daripada 23,000 taka (AS$209 atau RM993.06) gaji bulanan yang diminta oleh penunjuk perasaan.

Pegawai polis berkata, beberapa ribu pekerja bertindak menyekat jalan di sekitar Dhaka untuk mendesak tuntutan mereka.

Menurut Pegawai Kanan Polis, Abu Siddique, polis di Gazipur menyuraikan protes dengan menembak gas pemedih mata dan bom tangan bunyi ke arah hampir 1,000 pekerja yang menghalang jalan dan mengadakan protes.

“Mereka bersurai dan meninggalkan tempat itu dengan aman,” katanya.

Protes itu berlanjutan untuk hari ketiga di daerah barat Mirpur di Dhaka, di mana polis yang memakai peralatan rusuhan melepaskan tembakan peluru getah, gas pemedih mata dan bom tangan bunyi ke arah hampir 5,000 pekerja yang menyekat jalan, menurut seorang saksi kepada wartawan AFP di tempat kejadian.

Tentera separa tentera dari Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) dikerahkan untuk ‘mencegah keganasan’ di kawasan yang paling teruk terjejas, kata Leftenan Kolonel BGB Zahid Parvez kepada AFP.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Metropolitan Dhaka, Nazmul Hasan, berkata pasukan itu mengesyaki pembangkang negara itu, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) menghasut protes itu.

Protes itu selari dengan demonstrasi berasingan oleh parti pembangkang yang menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Sheikh Hasina menjelang pilihan raya yang dijadualkan pada Januari.

Pekerja pakaian mengatakan kenaikan mendadak kos sara hidup menyebabkan mereka bergelut untuk menyara keluarga.

Kumpulan Kempen Pakaian Bersih, rangkaian global yang menyokong hak pekerja, berkata ia ‘mengutuk sekeras-kerasnya penindasan ganas’ penunjuk perasaan pakaian.

Katanya, jenama penyumberan dari Bangladesh mempunyai peranan yang tidak dapat dinafikan dalam perkembangan baru-baru ini dan ‘kebanyakan enggan’ untuk secara terbuka menyokong tuntutan kesatuan pekerja untuk gaji yang lebih tinggi. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor