HomeBeritaRebut pelanggan punca peniaga Pasar Siti Khadijah bergaduh

Rebut pelanggan punca peniaga Pasar Siti Khadijah bergaduh

KOTA BHARU: Konflik dek kerana merebut pelanggan menjadi punca tercetusnya pergaduhan antara peniaga gerai makan dilaman Pasar Siti Khadijah, disini, pada Isnin lalu.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 5 petang itu membabitkan pergaduhan antara beberapa lelaki dan wanita.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung insiden terbabit pada pukul 8.03 malam.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca dari isu berebut pelanggan di antara peniaga-peniaga di kawasan tersebut.

“Kedua-dua belah pihak telah datang ke Balai Polis Kota Bharu untuk membuat laporan. Beberapa jam kemudian kedua-dua pihak telah menarik semula laporan tersebut.

“Tindakan kedua-dua pihak yang cuba menarik balik laporan polis dengan tujuan untuk selesaikan kes adalah bukan penyelesaiannya.

“Hal ini kerana kesan yang telah dilakukan oleh mereka itu telah menjejaskan keamanan masyarakat secara amnya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
Maklumnya lagi, pihak polis sedang mengesan serta menangkap suspek-suspek yang terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, tular di media sosial video menyaksikan beberapa individu bergaduh di laman gerai makan di Pasar Siti Khadijah.

Author

Pilihan Editor