HomeGlobalSituasi makin tegang, bantuan ke Gaza tak cukup - PBB

Situasi makin tegang, bantuan ke Gaza tak cukup – PBB

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mendakwa, penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza adalah tidak mencukupi ketika situasi semakin kritikal di genting itu.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Guterres mengulangi bahawa keperluan kemanusiaan jauh mengatasi tahap bantuan sedia ada.

Lapor Al-Jazeera, lori bantuan sudah pun tiba dari pintu sempadan di Rafah, Mesir ke Gaza sejak seminggu lalu.

Sebelum perang tercetus, kira-kira 500 lori yang membawa barangan bantuan dan lain-lain memasuki Gaza setiap hari.

Jurucakap Jabatan Keselamatan Negara Rumah Putih, John Kirby pada Selasa berkata, sebanyak 66 lori bantuan kemanusiaan memasuki Gaza dalam tempoh 24 jam terakhir.

Namun, katanya, sebanyak 100 lori sepatutnya disasarkan memasuki genting itu setiap hari.

Perkara itu dibangkitkan ketika rejim pengganas Israel melakukan serangan berterusan ke atas Gaza, sekali gus menyebabkan hospital dibanjiri mangsa yang cedera dan maut.

Setakat ini, lebih 8,610 rakyat Palestin terkorban, manakala lebih 23,000 yang lain cedera sejak negara itu diserang rejim Zionis pada 7 Oktober lalu.

Angka itu tidak termasuk korban akibat serangan rejim Zionis ke atas kem Jabaliya pada Selasa.

Nyawa rakyat Palestin di Gaza kini tidak hanya terancam, malah rejim Zionis bertindak menyeksa kesihatan mental dan fizikal mereka menerusi sekatan bekalan keperluan asas seperti makanan, air dan elektrik.

Ketua Pesurujaya Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) (PBB), Filippo Grandi pada Selasa menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), untuk melakukan desakan gencatan senjata bagi menamatkan pembunuhan beramai-ramai.

Amerika Syarikat (AS) merupakan sekutu Israel dan menolak desakan gencatan senjata, selain menganggap bahawa penamatan peperangan itu akan memberi keuntungan kepada Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).

Author

Pilihan Editor