HomeBeritaTabung Terengganu ‘Aid4 Palestine 2.0’ kumpul derma RM771,000

Tabung Terengganu ‘Aid4 Palestine 2.0’ kumpul derma RM771,000

KUALA TERENGGANU: Tabung Terengganu ‘Aid4 Palestine 2.0’ yang dilancarkan pada akhir Oktober lalu berjaya mengumpul sebanyak RM771,000 hasil derma pelbagai pihak di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, kutipan sumbangan itu telah diserahkan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Cinta Gaza Malaysia (CGM).

“Sumbangan ini adalah tanda solidariti rakyat negeri Terengganu yang bersimpati dengan kesedihan yang dihadapi oleh penduduk Palestin khususnya di Gaza ketika ini.

“Terengganu akan sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin dan semua sumbangan yang disalurkan ini diharap dapat membantu meringankan penderitaan mereka untuk membina semula kehidupan pasca perang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita penyerahan sumbangan itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif CGM, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Sumbangan tersebut melibatkan lebih daripada 40 agensi, 27 anak syarikat kerajaan negeri (GLC) dan 44 NGO di seluruh Terengganu termasuk bukan Islam.

Penyumbang terbesar ialah Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. iaitu sebanyak RM50,000 diikuti beberapa GLC lain antara RM5,000 hingga RM30,000.

Tambahnya, kerajaan negeri sangat berterima kasih kepada semua penyumbang yang telah bekerja keras mengumpulkan dana itu melalui pelbagai program di seluruh Terengganu. – Utusan

Authors

Pilihan Editor