HomeBeritaTak mampu jaga, bayi ditinggalkan di dalam kotak bersama nota di masjid

Tak mampu jaga, bayi ditinggalkan di dalam kotak bersama nota di masjid

KOTA KINABALU: Seorang bayi perempuan berusia hampir seminggu ditinggalkan di dalam kotak bersama nota di hadapan Masjid Taman Seri Gaya, Jalan Maktab Gaya, Luyang di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, bayi tersebut ditemukan oleh imam masjid berkenaan dan menurut nota yang ditinggalkan, bayi yang cukup sifat itu dilahirkan pada 31 Oktober lepas.

“Berdasarkan nota yang diletakkan bersama bayi itu, individu yang meninggalkan bayi berkenaan memohon maaf kerana tidak dapat menjaga bayinya atas faktor ketidakmampuan serta meminta supaya bayi itu dihantar ke rumah anak yatim,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Zaidi berkata, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Hatikah Ahmad menerusi talian 016-337246.

Author

Pilihan Editor