HomeHiburan'Tak payahlah bertanding siapa 'terpaling' Palestin'- Azhan Rani

‘Tak payahlah bertanding siapa ‘terpaling’ Palestin’- Azhan Rani

PELAKON, Azhan Rani menyelar sikap menjengkelkan segelintir individu yang sanggup bertelagah sesama sendiri semata-mata mahu mendabik dada kononnya merekalah ‘pejuang’ Palestin nombor satu.

Azhan Rani atau Azhan Abdul Rani, 47, berkata, dalam usaha solidariti kepada saudara seagama di Gaza sepatutnya semua pihak bersatu padu, bukannya berpecah belah atau saling berebut siapa paling lantang bersuara.

“Mulai hari esok, tak payahlah lagi bertanding siapa yang ‘terpaling’ Palestin. Setiap pendoa buat mereka di sana adalah pejuang. Insya-Allah, walau kita tak mampu ke medan tempur.

“Tidak kisahlah ahli politik mahu pun kita rakyat biasa, tak perlulah caci mencaci, remeh meremehkan, ejek mengejek, berkasar bahasa menunjukkan siapa yang ‘terpaling’ pejuang. Kita semua di sini sahaja.

“Sokong mana yang bagus dengan akal dan budi kita. Yang kita rasa tak okey tu, kita doakan perlahan-lahan untuk mereka bersama mengangkat kalimat Allah.

“Macam mana nak menang, belum bertempur, kita dah berpecah,” katanya dalam hantaran di Instagram.

Menerusi hantaran sama, pelakon Nur itu turut meminta maaf apabila terpaksa meluahkan pandangan tersebut panjang lebar sebagai peringatan buat semua pihak.

Malah Azhan tidak ketinggalan menzahirkan rasa kagum terhadap keberanian tentera Al-Qassam yang dilihat tidak gentar berjuang membebaskan Palestin daripada kezaliman Zionis.

“Serius, saya kagum dengan mereka. Walau tak pakai helmet perang canggih kalis pelurus, dengan serban litup muka sahaja, mereka ini lebih menggerunkan dan nampak benar-benar pejuang,” ulasnya.

Dalam pada itu, Azhan turut meminta semua pihak agar kembali kepada niat membantu, sekali gus mengubah mentaliti menjadi lebih positif.

“Doalah sama-sama, kita usaha berubah jadi lebih baik berbanding hari ini dan semalam,” ujarnya.

 

Author

Pilihan Editor