BANGKOK: Empat anggota sebuah keluarga menggunakan media sosial bagi mendapatkan bantuan selepas terperangkap selama 13 jam di dalam rumah mereka di Narathiwat akibat banjir, lapor portal berita Thaiger semalam.
Seorang pengguna Facebook, Angles Keef berkongsi gambar yang menunjukkan anggota i keluarganya tenggelam dalam air banjir setinggi paras dada kelmarin.
Dia meminta bantuan menerusi kapsyen: “Kami berada dalam air banjir lebih 13 jam sejak malam tadi (24 Disember).
“Kami berdua sejuk dan lapar. Tolong bantu kami. Mana-mana jabatan (kerajaan), sila datang kepada kami. Nombor rumah 175/1 Baan Bangota Pulasmeelae, Moo 2, daerah Bangosato, wilayah Narathiwat. Empat orang dan seekor kucing. Kami tidak tahan lagi seperti ini.”
Netizen kemudian membantu mereka mendapatkan bantuan daripada pelbagai jabatan kerajaan.
Agensi media Thailand turut menyebarkan kisah keluarga itu sehingga anggota-anggota penyelamat tiba di rumah mereka.
Empat ahli keluarga itu dilaporkan terdiri daripada dua wanita, seorang lelaki, seorang budak lelaki selain seekor kucing, manakala dua daripada keluarga tersebut adalah warga emas.
Hampir lima jam kemudian, seorang lagi pengguna Facebook mengemas kini keadaan dengan menyatakan keluarga itu telah diselamatkan.
Namun, kucing kecil bernama Sugar itu lemas dalam air banjir.
Banjir itu berlaku berikutan hujan lebat dari 22 hingga 25 Disember lalu. – Kosmo memetik AGENSI