HomeMV+PendapatBerapa gaji 'fresh graduate' layak terima?

Berapa gaji ‘fresh graduate’ layak terima?

CYBERJAYA: Bergelar graduan baharu dan kurang berpengalaman dalam dunia pekerjaan menyebabkan kebanyakan mereka sanggup menerima tawaran gaji meskipun jumlahnya amat rendah.

Berapa sebenarnya gaji relevan layak diterima graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian?

Graduan Komunikasi Kewartawanan, Universiti Sains Malaysia (USM), Nursyahidah Saidi, 24, berpandangan gaji relevan untuk graduan baharu adalah sekurang-kurangnya RM2,000 bagi gaji permulaan.

Graduan USM, Nursyahidah Saidi, 24

“Kalau ikutkan gaji ‘fresh graduate’ sepatutnya sekurang-kurangnya RM2,000 selepas potongan atau caruman Socso dan KWSP.

“Hal ini kerana seperti yang kita sedia tahu kos sara hidup juga telah meningkat terutama mereka yang tinggal di kawasan lembah klang dan kawasan bandar,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Tambahnya lagi, pihak syarikat sewajarnya menyediakan bantuan atau elaun bagi meringankan beban pekerja.

Malah, Nursyahidah turut mencadangkan pihak kerajaan meningkatkan kadar gaji pekerja kerana inisiatif bantuan atau elaun bukanlah suatu yang berterusan dan kekal.

Manakala graduan Komunikasi Kewartawanan, USM, Kirubasani Nadarajan, 24, berpandangan bahawa gaji minimum bagi para graduan baharu adalah RM2,200.

Jelasnya, jumlah berkenaan relevan dengan tanggungan kos sara hidup zaman sekarang yang disifatkan semakin membebankan.

“Kalau bagi saya, fresh graduate layak dapat gaji RM2,200 sebab sesetengah tempat mereka tak dapat elaun and nowadays kos sara hidup tinggi. 

Graduan USM, Kirubasani Nadarajan, 24

“Contoh sewa bilik paling rendah pun RM500. Kena bagi duit kat parents, makanan etc,” jelas Kirubasani.

Selain itu, graduan Komunikasi Pemujukan, USM, Adlin Sofea Huda Mohd Zaki, 24, berpendapat kadar gaji minimum graduan baharu adalah topik yang sukar dinyatakan dengan jelas.

“Kebanyakan graduan baru hanya memiliki pengalaman bekerja setakat di latihan industri sahaja. 

“Oleh sebab itu, segelintir daripada mereka berasa tidak layak untuk ‘demand’ tentang gaji yang sepatutnya mereka miliki mengikut bidang masing-masing,” ujarnya.

Sebagai graduan dalam bidang Komunikasi Pemujukan, Adlin merasakan lingkungan gaji yang sesuai adalah di antara RM1,790 sehingga RM3,189.

Graduan USM, Adlin Sofea Huda, 24

“Saya tidak meletakkan jumlah ini sesuka hati tetapi lebih kepada melihat kepakaran, pengalaman serta pemerhatian saya terhadap individu yang turut menceburi bidang ini.

“Saya juga ada melakukan beberapa pemerhatian untuk diri saya sendiri berkenaan dengan gaji saya setelah tamat pengajian di universiti,“ kongsinya.

Sementara itu, Adlin memberitahu pemberian gaji minimum untuk graduan yang baru menamatkan pengajian haruslah mengikut bidang masing-masing.

“Jika ada yang mengambil bidang perakaunan, lingkungan jumlah gaji minimum yang sesuai adalah RM 1800 – RM 3100. 

“Jika ada antara graduan baru yang mengambil bidang komputer/ IT, lingkungan jumlah gaji minimum yang sesuai adalah RM 1892 – RM 3722,” tuturnya.

Author

Pilihan Editor