HomeBeritaIbu, anak empat tahun maut kemalangan Viva dengan lori

Ibu, anak empat tahun maut kemalangan Viva dengan lori

 

MERSING: Ibu dan anak maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori berhampiran Ladang Paya Munis, Jalan Mersing ke Felda Nitar 1 di sini, hari ini.

Berdasarkan laporan awal, mangsa maut, Zubaidah Zakaria, 33, dan anak lelakinya, Uwais Rayyan Mohamad, 4.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.37 pagi.

Beliau berkata, dua jentera light fire rescue tender (FLRT) dan sebuah unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing dan Endau dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Anuar Hussine.

Katanya, kejadian membabitkan Perodua Viva dan lori 10 tan.

“Terdapat mangsa tersepit di dalam kereta terbabit dan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Jenazah diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya,” katanya. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor